Biografi Yusuf Ma Dexin

Haji

Ma telah mengerjakan haji pada tahun 1841 dan meninggalkan China dengan mengikuti laluan yang berpusing-pusing; kerana perjalanan melalui laut dari China telah terganggu oleh Perang Candu, sebaliknya beliau memilih untuk bertolak bersama-sama dengan sekumpulan pedagang Islam yang sedang mengembara melalui darat. Selepas melepasi Xishuangbanna, mereka menuju ke arah selatan ke Burma, kemudian menaiki bot sungai menyusuri Sungai Irrawaddy dari Mandalay ke Rangoon. Dari Rangoon, mereka dapat menaiki sebuah kapal wap yang membawa mereka ke Semenanjung Arab.[2] Setelah berada di Makkah beberapa ketika, beliau menetap di Timur Tengah selama lapan tahun; pertama sekali beliau pergi ke Kaherah, di sana beliau belajar di Universiti al-Azhar, kemudian mengembara ke serata Empayar Uthmaniyyah, pergi ke Suez, Iskandariah, Baitul Maqdis, Istanbul, Cyprus, dan Rhodes.[3]

Kembali ke China

Sebagai seorang Muslim yang terkemuka di Yunnan, Ma mula terlibat dalam Pemberontakan Panthay di Yunnan sejurus selepas beliau pulang dari mengerjakan haji. Pemberontakan Panthay yang meletus pada tahun 1856 sebagai sebahagian daripada siri kebangkitan-kebangkitan orang Islam dan kaum-kaum minoriti lain, diketuai sebahagian besarnya oleh Du Wenxiu; meskipun Ma tidak bersetuju dengan cara revolusi Du, beliau juga menggalakkan para pengikutnya untuk memberi bantuan dalam kebangkitan tersebut; kemudiannya, beliau cuba bertindak sebagai pendamai antara tentera kerajaan pusat dan tentera kebangkitan. [4] Walau bagaimanapun, di sebalik usaha beliau untuk membawa kepada perdamaian, kerajaan Dinasti Qing masih menganggap beliau sebagai pemberontak dan pengkhianat; beliau dihukum mati dua tahun selepas pemberontakan itu ditumpaskan.[1]